KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diminta berhenti mempolitikkan peruntukan Kerajaan Pusat kepada sekolah dengan meletakkan nama dan lambang parti politik di atas replika cek.
Jurucakap MCA, Wong Siew Mun berkata, peruntukan tersebut adalah dari kerajaan, dan bukanlah dari mana-mana parti politik. Tindakan Nga Kor Ming itu juga memburukkan imej Kerajaan Perpaduan.
Siew Mun berkata demikian sebagai mengulas mengenai gambar tular Kor Ming menyerahkan peruntukan kepada beberapa buah sekolah di negeri Perak, yang mana lambang parti DAP dan Pakatan Harapan (PH) jelas dilihat terpapar atas replika cek tersebut.
“Seseorang Menteri itu merupakan wakil rakyat. Selepas diberikan mandat, mereka haruslah berkhidmat untuk rakyat, namun Nga Kor Ming pula dilihat mempolitikkan peruntukan kerajaan untuk meraih manfaat politik bagi diri dan partinya.
“Langkah mementingkan diri sendiri seperti ini wajar dihentikan segera,” kata Siew Mun dalam kenyataan medianya.
Siew Mun juga menekankan bahawa gaji dan elaun seseorang wakil rakyat dibiayai oleh rakyat, apatah lagi peruntukan untuk sekolah.
Oleh itu, tidak sepatutnya ada percubaan untuk menipu rakyat bahawa peruntukan tersebut kononnya datang daripada Nga Kor Ming ataupun DAP dengan meletakkan lambang parti politik.
Dalam masa sama, Siew Mun juga mengalu-alukan PH dan DAP sekiranya mereka berhasrat untuk menyumbang dana kepada mana-mana sekolah seluruh negara.
“Sekiranya wang tersebut disumbang oleh PH dan DAP, sudah tentu kita semua akan rasa lebih teruja, tetapi media telah melaporkan bahawa peruntukan tersebut adalah daripada kerajaan.
“Timbul persoalan, adakah tindakan Nga Kor Ming ini selari dengan reformasi politik yang diuar-uarkan PH?” Ujar Siew Mun yang juga merupakan Ketua Pemuda MCA Pahang.
Selain itu, Siew Mun turut menggesa Kerajaan Perpaduan supaya membuktikan komitmen mereka untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang membelenggu kehidupan rakyat jelata dengan bekerja keras, dan bukannya mencari publisiti murahan yang langsung tidak memanfaatkan rakyat. – MalaysiaGazette