Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

JOHOR BAHRU – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin ‘Gelombang Perikatan Nasional’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah sampai ke  Johor.

Ia akan dibuktikan menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram tidak lama lagi.

Keyakinan itu disuarakan Pengerusi PN susulan sambutan hangat daripada himpunan gabungan parti itu yang diadakan di Selangor, Kedah dan Kelantan sebelum ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin mahu seluruh kepimpinan, ahli dan jentera parti mengukuhkan perpaduan dan semangat kerjasama sepanjang kempen nanti.

Ia penting bagi membolehkan jentera PN berfungsi dengan baik, licin dan lancar.

“Alhamdulillah kalau kita lihat dan saya yakin gelombang pada enam negeri di negeri sebelum ini saya boleh katakan ia telah datang ke negeri Johor. Gelombang itu berjaya sampai ke negeri ini. Hari ini jelas gelombang besar ini telah sampai ke Johor. Inilah gelombang rakyat.

“Namun saya nak beritahu apa yang penting ialah membawa risalah yang telah kami bawa pada PRN lepas, pertama ialah referendum atau membawa suara rakyat.

“Yang paling utama ialah kerjasama antara parti. Antara masalah kita ialah perpecahan dalam kalangan ahli kerana faktor dalaman. Saya minta orang Pulai supaya tiada masalah dalaman walau siapa yang kita letak.

Masalah perpecahan dalaman seperti kita lebih bijak dari calon, itu perlu diketepikan,” katanya semasa mengumumkan calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di sini hari ini.

PN sebelum ini bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang.

Bersatu  bertanding di 83 kerusi DUN, Pas di 126 kerusi dan Gerakan pula 36 kerusi.

Walaupun gagal membentuk kerajaan Pusat pada pada PRU-15, katanya, PN merekodkan pencapaian cemerlang apabila memperoleh 74 daripada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, berkata, pihaknya yakin sokongan padu rakyat dalam PRK nanti akan menjadi referendum rakyat kepada kerajaan Pusat.

Katanya, PN bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat perkara yang akan dilaksanakan sebagaimana terkandung dalam manifesto jika diberi peluang mentadbir.

“Kita bukan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini masih gagal menunaikan janji pilihan raya mereka walaupun sudah lama memerintah.

“Rakyat masih dihimpit dengan beban kenaikan kos sara hidup, harga barang keperluan yang meningkat setiap hari, inflasi serta masa depan ekonomi negara yang tidak nampak hala tuju,” katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin mengumumkan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai, Zulkifli Jaafar diumumkan sebagai calon PN bagi PRK Parlimen Pulai manakala pakar bedah endovaskular dari Pas, Dr. Mohd. Mazri Yahya  sebagai calon PN bagi kerusi DUN Simpang Jeram .-MalaysiaGazette