Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bergambar dengan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor diberikan portfolio masing-masing yang akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tengah hari ini.

Mereka, tiga daripadanya muka lama telah dilantik dan angkat sumpah jawatan serta ikrar aku janji di depan Sultan Selangor Sultan Salahuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang Isnin lalu.

Penamaan portfolio telah dimuktamadkan malam tadi selepas Amirudin selesai berjumpa dengan ketua parti gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga muka lama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han (DAP); ADUN Pandan Indah, Datuk Ir. Izham Hashim (Amanah); dan ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah (Keadilan).

Manakala tujuh muka baharu yang dilantik Exco ialah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), Datuk Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar), Mohd Najwan Halimi (Keadilan-Kota Anggerik), Jamaliah Jamaluddin (DAP-Bandar Utama), V Papparaidu (DAP-Banting), Dr. Mohammad Fahmi Ngah (Keadilan-Seri Setia) dan Anfaal Saari (Amanah-Taman Templer).

Menurut Amirudin, penangguhan menamakan portfolio Isnin lalu berikutan ada beberapa perubahan mengikut senarai kementerian seperti Kos Sara Hidup dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri serta Perubahan Iklim dalam Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau bagaimanapun telah menampilkan barisan Exconegeri itu kali pertama di majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam dan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Pejabat SUK Selangor, semalam.

Pagi ini, mesyuarat pertama Exco diadakan di Pejabat SUK dan dijangkakan tengah hari diumumkan portfolio.

Senarai portfolio bagi penggal PRU14 tahun 2018 hingga Julai 2023 ialah Amirudin Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan & Ekonomi, Pembangunan Tanah & Sumber Alam, Komunikasi Strategik, Pendidikan, Pembudayaan Inovasi & Smart Selangor (menggantikan portfolio Sains Teknologi & Inovasi) serta Pengurusan Bencana (portfolio baharu).

Datuk Teng Chang Khim memegang Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Selain Islam (HESI).

Rodziah Ismail yang kini Ahli Parlimen Ampang (Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, V. Ganabatirau (Pembangunan Sosio-Ekonomi, Kebajikan Masyarakat, Pemberdayaan Pekerja dan HESI); Ir. Izham (Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani).

Ng Sze Han (Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru); Dr. Siti Mariah Mahmud (Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga); Hee Loy Sian (Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan HESI).

Mohd Khairuddin Othman (Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Generasi Muda & Sukan), Borhan Aman Shah (Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi serta Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan; dan Mohd Zawawi Ahmad Mugni (Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal).

Sama ada portfolio ini kekal atau ada perubahan akan diumumkan Amirudin selepas mesyuarat Exco tengah hari ini.

Perubahan barisan anggota Exco penggal ke-15 ini berlaku berikutan penyertaan BN dalam gabungan PH, selain beberapa daripada mereka ditukar bertanding Parlimen, kalah dan digugurkan dalam PRN baru-baru ini.

Antara yang ditukarkan ke Parlimen ialah Rodziah yang memenangi kerusi Parlimen Ampang pada PRU15 November lalu, manakala Mohd Khairudin gagal mempertahankan kerusi DUN Paya Jaras dan Ahmad Zawawi kalah di DUN Sungai Kandis dalam PRN 12 Ogos lalu.

Ganabatirau, Dr. Siti Mariah, Loy Sian dan Chang Khim digugurkan daripada bertanding oleh pimpinan parti masing-masing berikutan faktor kesihatan dan ada yang berundur diri dari politik. – MalaysiaGazette