Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah) diiringi timbalannya, Akmal Nasrullah Nasir beramah mesra dengan peniaga pada Perasmian Jualan Merdeka Usahawan Komuniti Bandar 2023 di Perkarangan KPKT, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) berjaya melahirkan 16,294  usahawan sejak dilaksanakan pada tahun 2013.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program tersebut berjaya membantu golongan B40  menjadikan perniagaan sebagai cara untuk menjana pendapatan.

Menurut beliau, usaha kementerian membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kategori tersebut dilipatgandakan apabila kerajaan memperuntukan RM10 juta untuk program berkenaan.

“Usaha ini untuk membimbing dan melatih usahawan B40 supaya mereka sahaja dapat berdikari dan mempunyai pendapatan yang munasabah untuk cari rezeki,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Merdeka Usahawan Komuniti Bandar 2023 di ruang legas KPKT. 

Program berkenaan diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 pada tahun ini.

Selain PEKB, program berkaitan usahawan Kampung Baru Cina juga telah diwujudkan sebelum ini untuk membantu peniaga menghasilkan produk masing-masing,

Seramai 16 orang usahawan PEKB di bawah seliaan 14 Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut serta dalam program jualan berkenaan.

Antaranya adalah jualan jenis perkhidmatan dan produk kecantikan, urutan, jahitan, makanan dan lain-lain.

Para peserta yang mengikuti program PEKB akan diberikan latihan keusahawanan selama tujuh hari untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

Mereka turut dibekalkan dengan peralatan perniagaan setelah selesai menjalani kursus.

Dalam masa yang sama, program berkenaan dilihat berhasil mengeluarkan peserta  keluar daripada garis kemiskinan negara dan mengubah kehidupan serta meningkatkan taraf hidup mereka.

Ia secara tidak langsung membantu penjanaan ekonomi negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast