Haniff Khatri
Mohamed Haniff Khatri Abdulla

KUALA LUMPUR – Kesahihan kandungan memo dalaman Pejabat Peguam Negara (AGC) yang tular perlu disiasat bagi mengelakkan kezaliman dilakukan dalam kes International Petroleum Investment Company (IPIC).

Peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ia juga bagi menidakkan kemungkiran konsep kedaulatan undang-undang, tanpa mengira siapa yang dituduh.

Beliau mengingatkan bahawa sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah berdepan empat set pertuduhan jenayah dalam kes SRC International, kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kes 1MDB dan tiga baki pertuduhan penggubahan wang haram kes SRC International.

“Kes IPIC set kelima, dalam kes ini kita tidak boleh sewenang-wenangnya menidakkan dan mengetepikan konsep kedaulatan undang-undang.

“Adakah di tahap pertuduhan, pendakwa raya yakin dan pasti terdapat sebab yang mencukupi untuk membawa Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah ke mahkamah?” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, kelmarin.

Artikel berkaitan: UMNO Pekan desak Peguam Negara siasat kesahihan memo pendakwaan kes Najib

MCA gesa kerajaan jelaskan kebocoran memo AGC

Siasatan memo AGC beri keadilan kepada Najib – Netizen

Najib berhak persoal kesahihan memo AGC yang bocor

Siasat memo dalaman kes IPIC libatkan Najib – Pemuda UMNO

Khamis lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, AGC sedang menyiasat dakwaan kebocoran dokumen berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dana kerajaan membabitkan pembayaran kepada IPIC.

Dokumen bertarikh 10 September 2019 yang mengandungi 12 muka surat itu didakwa ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Mohamed Haniff Khatri memberitahu, sekiranya kandungan memo dalam tersebut adalah sahih, maka Najib dan Mohd Irwan berhak meminta AGC dan secara khususnya, Idrus membuat satu kenyataan berkaitan sama ada enam pertuduhan dalam kes IPIC  diteruskan atau sebaliknya.

Beliau menambah, sekiranya perkara itu tidak dilakukan, pasukan pembelaan Najib dan Mohd Irwan akan menampilkan memo dalaman tersebut di mahkamah melalui saksi yang relevan.

“Daripada pihak pendakwa raya sekarang ini diterajui oleh Idrus dimalukan atau ditempiaskan kerana membuat tuduhan tidak wajar, sebaik-baiknya beliau membuat keputusan berhubung perkara yang telah diputuskan oleh Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas,” jelasnya.

Mohamed Haniff Khatri berkata, siasatan rapi perlu dilakukan selepas itu bagi mengesan sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang membawa pertuduhan tersebut.

Beliau menegaskan, undang-undang tidak memihak dan kedaulatan undang-undang tidak memangsakan sesiapa.

“Isu politik tidak langsung memainkan peranan dalam sistem perundangan dan kehakiman.

“Inilah peluang terbaik untuk pasukan Peguam Negara sekarang menzahirkan perkara itu untuk menambah baik dan meyakinkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast