Najib Razak AGC
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berhak untuk bertanya sama ada dokumen yang didakwa memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dibocorkan oleh sebuah portal baru-baru ini sahih atau sebaliknya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, bekas Perdana Menteri itu wajar mendapat hak tersebut kerana beliau merupakan ‘mangsa’ yang perlu menghadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Corporation (IPIC) sejak lima tahun lalu.

“Jadi, sekiranya dokumen ini sah dan merupakan pendirian pasukan pendakwaan AGC kenapa Najib perlu dibeban dengan kos guaman bagi kes ini, naik turun mahkamah selama lima tahun manakala reputasi beliau tercalar sepanjang tempoh tersebut?

“Adakah wujud salah guna kuasa dan unsur politik untuk teruskan pendakwaan kes ini terhadap Najib?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Kelmarin, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, AGC sedang menyiasat dakwaan kebocoran dokumen berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dana kerajaan membabitkan pembayaran kepada IPIC.

Dokumen bertarikh 10 September 2019 yang mengandungi 12 muka surat itu didakwa ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Merujuk kepada dokumen yang tukar itu, pentadbir laman Facebook Najib Razak berpendapat, pasukan pendakwaan dan penyiasat AGC antara lain sebulat suara merumuskan bahawa langsung tiada kes untuk mendakwa Najib.

Menurut beliau, rumusan lain adalah tuduhan-tuduhan terhadap Najib tidak memenuhi keperluan atau ambang minimum untuk dibawa ke mahkamah dan kes tersebut patut digugurkan.

“AGC telah menemu bual 138 saksi dan tidak satu pun daripada kenyataan saksi itu memihak kepada kes pendakwaan.

“Malah, tiada satu bukti dokumen yang memihak kepada kes pendakwaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette