Masing-masing nelayan asing yang ditahan terdiri daripada warga Thailand, Myanmar dan Kemboja.

GEORGE TOWN – Seramai 16 nelayan warga asing bersama dua tan ikan campur yang dipercayai hasil tangkapan di perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang semalam.

Bot nelayan tempatan kelas C2 itu ditahan di kedudukan 0.2 batu nautika timur Batu Maung oleh bot peronda APMM sebelum didapati melakukan beberapa kesalahan.  

Pemangku Pengarah Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai 16 kru termasuk tekong berusia 19 hingga 59 tahun berada di atas bot berkenaan.

Bot nelayan tempatan yang digunakan mereka turut dirampas.

Jelas beliau, masing-masing mereka terdiri daripada warga Thailand, Myanmar dan Kemboja itu didapati menggunakan pukat jerut sebagai alat penangkapan ikan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, seramai 15 kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang kru warga Myanmar direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot tersebut kemudian ditahan dan disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM6,000 itu telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast