Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Impian Malaysia mara ke final Kejuaraan AFF Bawah 23 Tahun (B-23) lebur selepas dibelasah 1-4 oleh Vietnam pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Rayong Provincial, Thailand hari ini.

Untuk rekod, skuad negara mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B selepas menewaskan Indonesia 2-1 dan mengatasi Timor Leste 3-1.

Namun dua kemenangan itu jelas menunjukkan anak buah E. Elavarasan terpaksa akurĀ  bertemu pasukan yang lebih hebat pada perlawanan ini.

Ini kerana aksi tersusun dipamerkan Vietnam terutamanya pada babak pertama jelas menjadi masalah buat pemain Malaysia sehingga lawan tersebut berjaya menjaringkan tiga gol.

Malah keadaan itu turut menyaksikan jentera tengah Malaysia buntu untuk mencipta peluang jaringan.

Foto Facebook FAM.

Kem negara tersentak seawal minit kelapan selepas hantaran lintang Nguyen Minh Quang di sebelah kiri pintu gol negara mudah ditolak masuk Dimh Xuan Tien.

Malaysia terus merana pada minit ke-32 setelah kesilapan Muhammad Aliff Izwan Yuslan yang gagal mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri disudahkan dengan baik Quoc Viet menerusi satu percubaan daripada luar kawasan penalti bagi menewaskan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Skuad muda negara terus tertekan pada minit ke-44 apabila Xuan Tien sekali lagi mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Khuat Van Khang.

Namun jaringan saguhati kem negara hadir pada minit ke-49 menerusi tandukan Alif Ikmalrizal Anuar setelah menerima hantaran lintang daripada Aliff Izwan.

Jaringan itu jelas mengubah corak permainan skuad negara yang tampil lebih baik untuk memburu jaringan seterusnya bagi merapatkan lagi defisit jaringan.

Namun, usaha mereka tidak membuahkan hasil dan kesempatan itu diambil Nguyen Hong Phuc pada minit ke-85 untuk menambah jaringan keempat yang juga menerusi tolakan mudah hasil hantaran lintang. – MalaysiaGazette