KUALA LUMPUR – Seorang wanita cedera di pergelangan kaki kanan selepas tergelincir semasa menuruni Bukit Broga di Kajang hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 10.53 pagi tadi.
“Bertindak atas panggilan itu, seramai enam anggota dan pegawai bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak dapat berjalan akibat kecederaannya,” ujarnya dalam kenyataan di sini.
Tambah Ahmad Mukhlis, mangsa yang berusia 30 tahun itu kemudian diusung hingga ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette