Kelihatan hidupan laut yang berada di Pulau Sapi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pulau Sapi, Sabah. Foto MUHD NA’IM, 13 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan negara dikesan susulan langkah Jepun menyalurkan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daaiichi ke laut semalam.

Jabatan Atom Negara berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memandang berat kerisauan rakyat dan akan memantau tahap keradioaktifan perairan negara dengan rapi menerusi Atom Malaysia.

MOSTI melalui Atom Malaysia dengan kerjasama Kesatuan Eropah telah melakukan pemasangan Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS) untuk memantau sebarang peningkatan aras keradioaktifan secara masa sebenar di perairan negara sebagai pengesanan amaran awal.

Data dari stesen ini dipantau 24 jam dan 7 hari seminggu (24/7) di Pusat Pengurusan Tindakbalas Nuklear Kebangsaan (NCNRM) di Ibu Pejabat Atom Malaysia, Dengkil, Selangor.

Jepun terpaksa melakukan pelepasan sisa air ini sebagai langkah perlu untuk penyahtauliahan loji kuasa itu, yang terletak di pantai timur negara itu, kira-kira 220km (137 batu) di timur laut ibu negara Tokyo.

Negara itu telah mengumpul dan menyimpan air tercemar dalam tangki selama lebih dari satu dekad menyebabkan ruang semakin berkurangan, menurut laporan.

Namun, negara jiran seperti Korea Selatan dan China menyuarakan bantahan mereka terhadap langkah Jepun kerana dikhuatiri ia boleh membawa akibat negatif untuk jangka masa panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast