ACP A A. Anbalagan

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mati didera oleh ibu dan pasangan kekasihnya di Pangsapuri Mayang Jalan PUJ 8 Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, kanak-kanak terbabit telah dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Serdang kira-kira pukul 12.50 pagi pada 22 Ogos lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan didakwa  dilanggar lori.

Katanya, bantuan pernafasan telah diberikan kepada mangsa dan kanak-kanak terbabit tidak memberi respon positif.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera.

“Hasil soal siasat terhadap ibu dan teman lelaki ibu mangsa didapati teman lelaki ibu mangsa telah membuat laporan polis palsu di mana mengatakan telah melanggar mangsa dengan sebuah kenderaan lori.

“Seterusnya siasatan dapati tiada perkara sedemikian berlaku malah kenderaan lori tersebut merupakan kenderaan curi di kawasan Kajang.

“Siasatan lanjut kedua-dua suspek telah mengaku mendera si mati sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Anbalagan, tangkapan telah dilakukan pada 22 Ogos lalu terhadap ibu mangsa dan teman lelakinya.

Jelasnya, ibu mangsa, 44 dan temannya, 29 yang bekerja sebagai pemandu lori telah bersama sejak bapa mangsa meninggal dunia pada September 2022.

“Ujian saringan air kencing dapati kedua-dua saspek positif meth dan amp.

“Permohonan reman telah dibenarkan selama 7 hari sehingga 29 Ogos bagi siasatan lanjut,” ujarnya.

Katanya, Hasil bedah siasat mendapati terdapat entensive soft tissue injury due to multiple blunt force trauma terhadap kanak-kanak terbabit.

Siasatan awal menunjukkan motif kejadian adalah berpunca dari tabiat yang suka mendera anak, tambah beliau. – MalaysiaGazette