BUKIT MERTAJAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa empat jam untuk memadamkan kebakaran sebuah kilang pembuatan pintu kayu di kawasan perindustrian Bukit Minyak di sini awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, Faisyal Riza Abd Samad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.03 pagi.
Jelas beliau, kebakaran itu menyebabkan 90 peratus kilang berkenaan musnah termasuk beberapa mesin yang digunakan untuk pembuatan pintu kayu berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kita dapati sebuah kilang 100 x 40 kaki persegi terbakar dan api merebak dengan cepat susulan ia merupakan kilang kayu.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk memadamkan api itu dan kilang terbabit musnah 90 peratus.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan kilang berkenaan tidak beroperasi pada waktu malam namun beberapa pekerja yang tinggal di dalam bangunan itu sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Operasi pemadaman itu turut dibantu BBP Perai, BBP Sungai Bakap, BBP Bukit Mertajam serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Tambah Faisyal Riza, pihaknya masih melakukan kerja-kerja overhaul setakat pukul 11 pagi tadi bagi memastikan bara padam sepenuhnya serta tiada kebakaran baharu.
“Siasatan lanjut berhubung punca kejadian serta kerugian akan dilakukan Unit Forensik JBPM negeri,” katanya. – MalaysiaGazette