Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Mana-mana peniaga yang meletakkan syarat dalam pembelian gula akan dikenakan tindakan.

Demikian tegas Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang memberitahu, tiada syarat dikenakan oleh kerajaan.

Contohnya termasuk pengguna perlu melakukan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dahulu jika mahu membeli gula pasir kasar.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati mengenakan syarat berkenaan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan dan disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Syarat itu tidak boleh diletakkan dan kalau ada sila laporkan kepada kita kerana di bawah perintah bekalan itu, peniaga tidak boleh meletakkan syarat sedemikian dan kita akan ambil tindakan bersesuaian.

“Kita ada terima (aduan) dan kita dapat selesaikan aduan itu serta merta,” katanya selepas Program Bimbingan Usahawan & Sesi Libat Urus Bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor hari ini.

Sabtu lalu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan berkata, sebuah premis perniagaan di Batu Gajah diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

Tindakan itu dikesan selepas penguat kuasa KPDN berpakaian preman melakukan penyamaran untuk membeli gula pasir kasar berharga RM2.85 sepaket di premis berkenaan.

Hasilnya, premis itu dikesan meletakkan syarat jika mahu membeli gula pasir kasar, seseorang itu perlu terlebih dahulu melakukan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) yang berharga RM4.50 sepeket.

Susulan itu, kira-kira 100 kilogram (kg) gula pasir kasar dan 74 kilogram gula pasir jernih disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan RM620.85.

Dalam pada itu, Armizan berkata, kementerian sedang mencari solusi jangka panjang bagi mengatasi masalah bekalan gula negara.

Pihaknya sedang duduk bersama dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tujuan berkenaan.

“Baru baru ini pun saya mempengerusikan beberapa mesyuarat dengan pegawai-pegawai dari Kementerian Ekonomi, MITI dan KPKM untuk mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, KPDN masih giat menjalankan Ops Manis bagi memastikan pengilang dan pemborong menjalankan tanggungjawab mereka membekalkan gula putih bertapis.

KPDN perlu meneruskan Ops Manis untuk memastikan pengilang bertanggungjawab terus membekalkan gula bertapis putih kasar dan halus ini sebanyak 42,000 metrik tan sebulan.

“Itu tangungjawab mereka (pengilang) perlu tunaikan begitu juga pemborong di bawah peraturan peraturan bekalan,” katanya .-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast