KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, Persatuan Muay Thai Terengganu akan menganjurkan program sukan berskala prestij iaitu Terengganu Fight Festival 2023 (T-Fight Festival 2023) yang dijangka akan menarik pengunjung dari dalam dan luar negeri mahu pun luar Malaysia.
Presiden Persatuan MuayThai Terengganu, Najmi Abdullah berkata, program yang akan dijadikan sebagai acara tahunan untuk Terengganu itu akan diadakan selama dua hari bermula 29 September depan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Beliau berkata, penganjuran T-Fight Festival 2023 kali ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran sebelum ini, namun kali ini dirancang lebih besar dengan pengisian dan acara yang lebih hebat.
“Acara T-Fight Festival 2023 ini juga diselarikan dengan trademark ‘Sukan Patuh Syariah’ dan ‘Fit Is Sunnah’ yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu serta Majlis Sukan Negeri Terengganu.
“Program seperti ini mampu memberikan impak yang pelbagai dari sudut industri sukan, gaya hidup sihat, pelancongan, keusahawanan serta sosial generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Najmi menambah, Persatuan Muay Thai Terengganu bersama Majlis Sukan Negeri bersama Kerajaan Negeri serta agensi kementerian menjayakan acara ini agar memberikan manfaat yang tersendiri kepada semua pihak seterusnya mampu mempromosikan Visit Beautiful Terengganu 2023.
“Objektif penganjuran T-Fight Festival 2023 adalah untuk menghimpunkan para penggiat serta penggemar sukan tempur dari dalam dan luar Terengganu mahupun dari luar negara bagi mengambil peluang apa jua manfaat yang diisi sepanjang program ini.
“Program ini juga bertujuan untuk mencungkil serta mengetengahkan bakat-bakat baharu sukan tempur ini dari dalam Negeri Terengganu. Seterusnya ia dapat memberi satu imej kepada Negeri Terengganu sebagai negeri “SPORTS & TOURISM” yang popular serta mendapat perhatian di Malaysia,” jelasnya.
Tambah Najmi, pihak penganjur menyasarkan kehadiran pengunjung antara 15,000 ke 20,000 orang ke program tersebut dalam usaha mengangkat imej kerajaan negeri yang serius dan komited dalam menjayakan industri sukan pelancongan di Terengganu. – MalaysiaGazette