Wan Salim.

GEORGE TOWN – Tindakan memprotes cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenal modul 40 hadis Imam Nawawi bagi meraih kepentingan politik murahan sekali gus meminggirkan kepentingan negara dan rakyat adalah tidak wajar, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Jelas beliau, pihak yang menentang cadangan penghayatan modul itu perlu mendapat maklumat jelas terlebih dahulu tentang  kandungan hadis dalam koleksi tersebut.

“Mana-mana pihak yang membantah cadangan tersebut perlulah memberi perhatian kepada penjelasan yang diberikan KPM dan beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan bahawa modul berkenaan hanya disasarkan kepada para guru dan pelajar beragama Islam di sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SABK) sahaja.

“Malah tujuan modul ini diperkenalkan bagi memupuk semangat ihsan (kebajikan) dan kasih sayang sesama manusia tanpa mengira latar belakang keturunan, agama dan budaya.

“Ia juga diharapkan boleh dicapai menerusi kefahaman yang betul tentang agama Islam sebagai agama rahmat dan menganjurkan sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain biarpun berbeza pegangan agama dan kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Salim, rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam harus memahami pandangan ekstrem bahawa yang memusuhi orang bukan Islam berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap ajaran-ajaran Islam itu sendiri.

“Kumpulan-kumpulan seperti DAESH yang memperjuangkan penubuhan negara Islam di Iraq dan Sham (Syira – Lubnan) dengan sewenang-wenang membunuh sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka, adalah disebabkan kefahaman mereka yang salah terhadap ajaran Islam yang sebenar.

“Maka dengan memperkenalkan Modul Hadis 40 karya Imam Nawawi ini diharap mampu melahirkan generasi umat Islam yang lebih terbuka  kepada kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam kalangan warga Malaysia.

“Pengenalan modul ini juga dapat menyumbang kepada keharmonian negara,” katanya. – MalaysiaGazette