KUALA LUMPUR – Hanya berbaki empat hari sahaja lagi, Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-66 tahun dan ia adalah masa untuk rakyat negara ini yang berbilang bangsa memaparkan semangat patriotik serta kasih sayang terhadap negara.
Rata-rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette masih cagna dan teruja untuk menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini yang bakal diadakan di Putrajaya dengan tema “Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.
Bagi Noormala Mohd Saad, 48, berkata, kemerdekaan bukan sekadar sambutan atau bebas daripada peperangan, sebaliknya maksud kemerdekaan itu perlu dihayati daripada semua sudut.
“Merdeka pada ketika ini ialah merdekakanlah (bebas) daripada belenggu diri sendiri, keluarga, agama dan bangsa kita. Keluarlah dari apa sahaja ujian dan cabaran. Merdeka dahulu mungkin peperangan tapi sekarang merdeka itu lebih luas maksudnya.
“Namun, apa yang saya harapkan (generasi muda) adalah sentiasa ingat siapa yang mempelopori kemerdekaan kita sebelum ini agar kita sentiasa menyintai dan menyayangi negara kita,” katanya kepada pemberita.
Siti Zurina Nat Saman, 49, pula berkata, walaupun Malaysia sudah lama merdeka daripada peperangan namun nilai nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan golongan muda masih cetek.
“Kita sudah lama merdeka sejak tahun 1957 tapi golongan muda kini nampak tidak peka dengan maksud kemerdekaan sebenar. Bagi saya sendiri, kemerdekaan adalah kita bebas daripada apa yang kita lalui sebelum ini mungkin ada yang hidup susah dan sudah berubah kepada taraf hidup yang lebih baik.
“Saya harap kita semua rakyat Malaysia terus hidup bersatu padu, aman dan harmoni walaupun berbeza agama, gaya hidup serta pegangan dan semaikan erti kemerdekaan supaya kita tahu di mana akar umbi (asal) kita,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Afi Azfar Rosli,31, berpandangan, sambutan kemerdekaan bagi dirinya adalah perlu bebas bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari segi minda dan akal.
“Ye saya ambil tahu tentang sambutan ini dan erti kemerdekaan bagi saya adalah kita perlu bebas bukan sahaja dari segi fizikal tetapi merdeka dari segi minda dan akal kita untuk maju ke hadapan cara pemikiran kita bagi membantu negara kita.
“Harapan saya untuk sambutan Merdeka ini, bukan hanya sekadar sambutan tetapi perlu menghayati makna sebenar kemerdekaan itu dan sama-sama membangunkan negara kerana kita semua baharu sahaja pulih dari pandemik Covid-19,” jelasnya. – MalaysiaGazette