Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada media selepas Program Serahan Bendera Jalur Gemilang dan Ziarah Merdeka MAIS Tahun 2023 di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berpendapat kes melibatkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang didakwa berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Julai lalu, selesai.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya mendapati siasatan terhadap menteri itu melibatkan isu semasa dan tiada unsur politik.

“Kalau tidak silap saya, dia menjawab soalan yang ditanya jemaah di situ, dia tidak bercakap mengenai politik.

“Dia (Fahmi) menjawab soalan berkaitan dengan konsert (aksi biadap The 1957) dan tindakan yang diambil untuk menamatkan konsert berkenaan kerana telah melanggar syarat yang telah dipersetujui bersama.

“Dia tidak sebut politik dalam masjid, pada pandangan saya selesai, dia datang mahu solat, dia cari masjid dan surau berdekatan. Sebagai menteri dia jawablah dengan jelas soalan yang ditanya jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Serahan Bendera Jalur Gemilang dan pelepasan Konvoi Ziarah Merdeka MAIS di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular gambar Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu di laman media sosial berucap di ruang solat utama di sebuah masjid di Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang .

Bagaimanapun Fahmi menerusi Facebooknya menafikan dakwaan bahawa beliau telah berkempen di masjid berkenaan.

Sebaliknya Fahmi memberitahu, beliau singgah di situ untuk menunaikan solat zuhur kerana ia masjid paling dekat dengan lokasi program seterusnya.

Menteri itu berkata, beliau dijemput oleh kariah masjid tersebut bagi mengulas isu kumpulan The 1975 ketika berada di masjid berkenaan. – MalaysiaGazette