Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang

KUALA LUMPUR – Penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji lebih mendalam dan kritikal mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri-Negeri menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah bertepatan pada masanya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, ini kerana kebelakangan ini terdapat banyak kes sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah telah dicabar di Mahkamah Persekutuan.

“Cabaran-cabaran tersebut sedikit banyak telah memberikan imej dan persepsi negatif terhadap Mahkamah Syariah yang berada di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri.

“Konflik bidang kuasa antara Persekutuan dan Negeri wajar diselesaikan dengan segera agar masyarakat dan negara ini dapat bergerak maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah satu Jawatankuasa Khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri-Negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, ini berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.

Tambah Musa, cadangan pindaan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas tersebut hendaklah berpegang kepada prinsip menghormati pemisahan bidang kuasa antara Negeri dan Persekutuan.

“Ia mestilah mencerminkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Perkara 3), serta menghormati kuasa eksklusif Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, cadangan pindaan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas tersebut juga bukan semata-mata tertumpu kepada undang-undang (Syariah) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.

“Malah ia perlu merangkumi pindaan kepada peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dilaksanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette