KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) hari ini yang dapat mengukuhkan komitmen Malaysia untuk mencapai aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) bersih sifar seawal-awalnya pada 2050.
Menurut buku kecil Kementerian Ekonomi, NETR fasa pertama yang dilancarkan bulan lepas menggariskan 10 projek pemangkin utama dan inisiatif berdasarkan enam pemacu peralihan tenaga terpenting, manakala Fasa 2 akan menumpukan kepada usaha mewujudkan laluan rendah karbon, campuran tenaga nasional dan sasaran pengurangan pelepasan sebagai keupayaan yang diperlukan untuk peralihan tenaga.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa melancaran Fasa 1 pada 27 Julai berkata NETR akan membuka peluang pelaburan bernilai antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050, dan fasa pertama sahaja dianggarkan mewujudkan kira-kira 23,000 pekerjaan berimpak tinggi.
Beliau berkata pelan hala tuju itu akan membantu mengubah ekonomi negara dengan membuka usaha niaga menguntungkan yang baik untuk alam sekitar serta ekonomi.
NETR yang bertujuan untuk mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia adalah penting bagi negara untuk mengemudi kerumitan peralihan tenaga secara besar-besaran, terutamanya peralihan daripada ekonomi berasaskan bahan api fosil tradisional kepada ekonomi hijau bernilai tinggi.