Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd (MKM) buat pertama kali menyertai karnival terbesar pelancongan negara, Matta Fair 2023 yang bakal berlangsung mulai 1 hingga 3 September 2023 dengan menawarkan pendaftaran pakej umrah serendah RM50.

Sempena penganjuran acara ini di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), MKM juga menawarkan pelbagai diskaun dan promosi pakej umrah.

MKM, sebuah syarikat pelancongan dan pengendali umrah serta haji yang meningkat naik, memberikan peluang kepada orang ramai untuk menempah pakej-pakej umrah yang menarik, selain tawaran diskaun sehingga RM600 seorang.

Tawaran tempahan yang rendah ini bertujuan mengurangkan bebanan kewangan kepada bakal jemaah ketika berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

MKM menawarkan pelbagai tarikh penerbangan bagi memudahkan jemaah membuat pilihan yang sesuai dengan jadual dan keutamaan masing-masing.

Selain itu, pihak syarikat juga menjamin ketersediaan tiket penerbangan dan hotel penginapan di Tanah Suci.

Sempena Matta Fair 2023, MKM mengadakan cabutan bertuah di reruai 2N 29.

Para pemenang bertuah akan menerima ganjaran tambahan dalam bentuk pengurangan harga, selain nilai tambah kepada pakej umrah mereka.

“Kami teruja untuk menyertai Matta Fair 2023 dan mengalu-alukan umat Islam di negara ini memilih pakej lengkap kami yang turut menawarkan pakej rawatan perubatan dan kecemasan tanpa tunai Al Khairi Care bagi melaksanakan perjalanan ibadah Umrah,” kata Pengarah MKM Abd Hadi Raman.

MKM yang berpengalaman luas lebih 10 tahun dalam mengendalikan ibadah umrah dan haji, sudah menerbangkan hampir 50,000 orang jemaah rakyat Malaysia sejak 10 tahun lalu sekali gus membuktikannya sebagai syarikat yang kukuh dan mampu memberi perkhidmatan berkualiti dan terbaik. – MalaysiaGazette