pembakaran terbuka nik nazmi nik ahmad el nino
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan sebanyak 57 kompaun dan dua kes dikenakan tindakan mahkamah atas kesalahan pembakaran terbuka sepanjang tempoh 1 Januari lalu hingga kelmarin.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan diambil di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jika disabit kesalahan menyebabkan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

“Orang awam boleh melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan https://eaduan.doe.gov.my serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999,” jelasnya.

Nik Nazmi memberitahu, Malaysia kini berdepan monsun barat daya yang bermula pada 15 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga bulan depan.

Menurut beliau, lazimnya pada tempoh tersebut, negara ini akan mengalami taburan hujan yang kurang dan cuaca yang lebih panas dan kering.

“Kebiasaannya, negara akan mula mengalami cuaca panas yang ketara sekitar Ogos hingga September setiap tahun dan kejadian pembakaran terbuka berpotensi berlaku di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan hutan dan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah,” katanya.

Nik Nazmi berkata, Malaysia telah bersiap siaga menghadapi situasi itu dan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2023 pada 26 Mei lalu.

“Orang awam juga boleh menyemak maklumat terkini status kualiti udara melalui portal JAS: www.doe.gov.my dan melalui aplikasi ‘MyIPU’ serta menyemak maklumat cuaca daripada MET Malaysia melalui aplikasi myCuaca,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast