Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.- Gambar fail.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 12 September depan bagi sebutan rayuan berhubung keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut dibebaskan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada tuduhan meminda laporan akhir audit syarikat tersebut.

Bagaimanapun setakat ini difahamkan pihak pendakwaan belum memfailkan petisyen rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

Pada hari sebutan kes ini, Najib dan Arul Kanda diperintahkan supaya hadir.

Pada Mac tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (ketika itu) telah melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Kedua-duanya dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Mohamed Zaini memutuskan selepas penilaian maksimum pada akhir kes pendakwaan, pihak itu tidak menemukan bukti untuk mensabitkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Hakim itu kini naik pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan juga mendapati Arul Kanda telah memberikan keterangan secara konsisten sepanjang perbicaraan dan ia serasi dengan keterangan yang dikemukakan termasuklah keterangan-keterangan saksi lain dalam kes tersebut.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tiba di mahkamah pada hari keputusan sama ada diarah membela diri atau lepas pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2023.

Najib sebelum ini berdepan tuduhan telah menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi mantan Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah. – MalaysiaGazette