Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Semua penjawat awam Pahang akan menerima bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 daripada kerajaan negeri ini.

Menteri Besarnya,  Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail berkata, bantuan khas itu diberikan kepada 8,000 orang penerima termasuk pegawai serta kakitangan kontrak.

”Kerajaan Negeri Pahang menerusi mesyuarat Majlis Masyuarat Kerajaan (MMK) pada hari ini telah meluluskan pemberian bantuan khas penghargaan penjawat awam dan pesara. Pahang.

”Penjawat Awam Negeri Pahang bagi Gred 54 dan ke bawah akan menerima RM300 seorang manakala pesara kerajaan negeri pula akan menerima RM200 seorang.

”Pemberian bantuan khas ini melibatkan implikasi kewangan RM2.4 juta dan pembayaran akan dibuat pada bulan September 2023,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemberian ini juga merupakan tanda penghargaan dan terima kasih daripada kerajaan negeri kepada penjawat awam yang sentiasa berdedikasi menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah.

Wan Rosdy berharap dengan pemberian bantuan khas ini penjawat awam Negeri Pahang akan dapat meningkatkan perkhidmatan mereka demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini. – MalaysiaGazette