KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menyeru barisan kepimpinan negara agar berusaha menjana kembali aspirasi ekonomi rakyat dengan melaksanakan semua keputusan-keputusan perancangan pembangunan dengan cepat dan tepat.
Baginda mahu Malaysia kembali menjadi sebuah negara merdeka yang berdaya maju serta disegani di peringkat antarabangsa, khususnya dalam sektor pelaburan dan ekonomi.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 esok, baginda mengingatkan seluruh rakyat jelata tentang pentingnya menghayati erti sebenar kemerdekaan demi menyuburkan kembali semangat patriotisme, serta menyemai rasa cinta dan sayang dalam jiwa semua bangsa di Malaysia.
Baginda mahu semangat ini dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.
Titah baginda, apabila sekalian rakyat menjulang erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, maka tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau kaum tergamak menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan.
Dalam hantaran di Facebook, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-66 kepada seluruh rakyat Negeri Selangor khususnya, dan Malaysia amnya. – MalaysiaGazette