Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hopsital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

GEORGE TOWN – Tindakan nekad seorang bapa menyelamatkan anaknya yang tenggelam di di Pantai Miami, Batu Feringgi di sini berakhir dengan tragedi apabila lelaki itu ditemui mati lemas.

Kejadian jam 4.30 petang itu, mengorbankan Haryadi Salleh, 43, yang berasal dari Jitra, Kedah.

Pegawai Pertahanan Awam Unit Tanjung Bungah, (PA) Leftenan Mohd Lili Ibrahim berkata, sebelum kejadian anak mangsa berusia 13 tahun hampir lemas sebelum mangsa cuba menyelamatkannya.

Namun, sebaik sahaja anak lelaki itu diselamatkan oleh orang awam, mangsa pula dikhuatiri lemas sebelum mayatnya ditemui kira-kira 70 meter dari Menara Tinjau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Susulan itu, empat anggota penyelamat mengambil masa hampir 20 minit untuk membawa mangsa ke pesisiran pantai.

“Mangsa kemudian diberi rawatan awal dan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.

“Kes diserah kepada polis sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa dikatakan datang bercuti ke Pulau Pinang bersama isteri dan anaknya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, seramai lapan anggota termasuk dua dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba di tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

“Keadaan ombak pada ketika itu tidak bergelora walaupun selepas hujan dan pantai juga dipenuhi dengan pengunjung yang berkelah serta mandi manda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast