MELAKA – Bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC) memecah rekod apabila melakukan lintas langsung perarakan di Sungai Melaka sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke- 66 hari ini.
Ia sekali gus memecah rekod 18 tahun penubuhan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) yang tidak pernah berarak menaiki bot berhiasa pada Hari Merdeka sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Murad Husin berkata, sebanyak 12 buah bot dan dua buah jet ski akan berlintas langsung melibatkan 250 peserta dari Jeti Dataran Pengkalan Rama ke Muara Sungai Melaka sebelum akan berpatah balik melengkapkan sembilan kilometer laluan.
“Sebanyak 12 buah bot itu terdiri daripada 200 pesilat dari Persatuan Seni Silat Kunci Melayu Melaka (SIKUME) dan 50 kanak-kanak berpakaian etnik masyarakat di Melaka.
“Semua kanak-kanak ini merupakan anak kakitangan PPSPM dan semasa bot bergerak, pesilat akan membuat persembahan bunga silat sambil mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya di sini hari ini.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke- 66 di Melaka hari ini menyaksikan hampir 10,000 peserta daripada pelbagai agensi mengambil bahagian pada acara perbarisan dan perarakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.
Ia menyaksikan penyertaan terbesar selepas pandemik Covid-19 yang disaksikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Ser Ab Rauf Yusoh serta semua kenamaan lain.
Persembahan melibatkan melibatkan seramai 9,884 peserta antaranya seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut terlibat agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar sekolah seramai 8,004 peserta daripada 179 kontinjen dan 593 aset yang mengambil bahagian. – MalaysiaGazette.
















