KUANTAN – Polis menahan tiga lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan empat kes rompakan berkumpulan di kawasan Triang dan Kerayong, dekat Bera.
Ketua Polis Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, tiga suspek yang berusia antara 30 hingga 38 tahun ditahan berhubung kes yang berlaku sejak 18 Ogos lalu.
Kesemua suspek telah ditahan reman selama lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 394/395/397 dan juga Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Ujian saringan awal air kencing dapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis amphetamine.
“Mereka juga didapati mempunyai beberapa rekod lampau jenayah dan dadah lampau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu dalam kejadian yang lain, pihak polis turut menangkap seorang wanita berumur 47 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kes kecurian barang kemas.
Menurutnya wanita berkenaan ditahan reman selama empat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan untuk membantu kes kecurian di sebuah kedai emas di Triang pada 24 Ogos lalu.
Zulkiflee berkata, dengan tangkapan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan empat kes rompak berkumpulan dan satu kes curi di kedai emas yang telah dilaporkan di daerah Bera. – MalaysiaGazette















