KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang berlangsung semalam.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Malaysia atas sambutan yang meriah dan luar biasa dengan penglibatan semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.
Baginda turut rasa terharu dan ucapan terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang datang meyertai dan memberi sokongan untuk meraikan sambutan hari bersejarah itu.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat besar maknanya kepada baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar kerana menyambutnya bagi kali terakhir selaku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dalam kenyataannya berlaya. sambutan ini menjadi kenangan manis yang akan sentiasa dalam ingatan buat baginda berdua.
Al Al-Sultan Abdullah bertitah, semangat perpaduan dan patriotisme yang dipamerkan dalam sambutan itu dan majlis-majlis yang telah dianjurkan di seluruh negara sangat membanggakan dan sewajarnya dipuji.
Baginda menzahirkan harapan semoga semangat-semangat tersebut, yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum dapat memperkukuhkan lagi keharmonian negara.
Malah, baginda berdua mengajak seluruh negara bersama-sama mendoakan agar kedaulatan Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan segala keberkatan dan keamanan yang berkekalan. – MalaysiaGazette