KUALA LUMPUR – Tan Sri Idrus Harun akan dikenang sebagai seorang Peguam Negara (AG) yang kontroversi serta dikaitkan dengan pendakwaan terpilih.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Idrus akan dikenang seperti mana bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
“Katanya, Idrus Harun sudah mula bercuti. Dia akan bersara. Mungkin dia puas kerana mampu membisu kepada beberapa desakan rakyat.
“Dia membisu pasal memo bocor. Dia membisu pasal kertas siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan. Dia tidak mendakwa Zeti. Dia dituduh cuai sehingga empat pertuduhan terhadap Muhyiddin gugur.
“Dia akan dikenang macam Tommy Thomas. Dia Peguam Negara kontroversi. Dia didakwa melakukan pendakwaan terpilih,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Idrus berkuatkuasa 6 September ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan yang memberitahu, Idrus akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September nanti.
Pelantikan Ahmad Terrirudin yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Mohd Puad juga mempersoalkan sama ada Idrus menjadi punca Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung buku Tommy gagal dilaksanakan.
“Adakah Idrus punca RCI terhadap buku Tommy dibisukan?Tidakkah itu engkar keputusan Kabinet? Kerajaan mesti dedahkan jika wujud salah laku oleh Idrus?” soalnya. – MalaysiaGazette