KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pihak agar terus memberi tumpuan terhadap pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif, kukuh dan mampan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar ekonomi negara terus berkembang dan berdoa rakyat terus dilimpahi rezeki yang lebih baik.
“Seri Paduka Baginda telah mengambil maklum keadaan ekonomi Malaysia yang berkembang pada kadar 4.2 peratus pada separuh pertama 2023 meskipun berdepan persekitaran pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan yang lebih perlahan.
“Perkembangan ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh berikutan pasaran pekerja dan pendapatan yang lebih baik, di samping pelaksanaan projek pelaburan baharu dan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seri Paduka turut mengambil maklum bahawa kadar pengangguran juga telah menurun kepada 3.4 peratus pada bulan Jun 2023, manakala inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menurun pada suku kedua tahun ini.
Menurut Zahari, Al-Sultan Abdullah juga memberi perhatian kepada perkembangan sektor kewangan Islam yang telah menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan perkembangan sosioekonomi negara serta menzahirkan rasa syukur terhadap perkembangan inisiatif iTEKAD dalam membantu golongan rentan.
Setakat ini, iTEKAD yang mendapat sokongan 11 institusi kewangan dan hampir 60 rakan pelaksana telah memanfaatkan 3,000 usahawan mikro berpendapatan rendah terutamanya golongan asnaf.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap dan sembah taklimat berhubung perkembangan semasa ekonomi negara daripada Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Timbalan Gabenor Datuk Jessica Chew Cheng Lian di Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima sembah taklimat berkaitan kestabilan nilai ringgit, keadaan inflasi, kemajuan ekosistem kewangan Islam, pengantaraan berasaskan nilai dan program kewangan sosial, khususnya program iTEKAD.- BERNAMA