Dr. Mohamad Izwan Zainal

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memandang tinggi inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 bagi merangsang pelaburan dan pembabitan industri.

Namun menurut Pengerusi Biro Ekonominya, Dr. Mohamad Izwan Zainal, ianya perlu diselaraskan dengan agenda pembangunan negara agak NIMP 2030 seiring dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ini katanya, bagi menjamin ekuiti masyarakat bumiputera, sekali gus menarik penglibatannya demi menjayakan NIMP 2030.

Kata beliau, DEB juga selari dengan asas Perlembagaan Malaysia yang menjaga kedudukan keistimewaan Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum lain di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Keistimewaan ini dinikmati secara seimbang berdasarkan kepada kontrak sosial yang dipersetujui bersama.

“Malah, pendekatan liberal untuk strategi pelaburan akan membawa kepada negara bersifat kapitalis, yang akhirnya menjerut rakyat dengan kenaikan kos operasi yang dimasukkan dalam perbelanjaan seterusnya memberikan kesan kepada inflasi negara.

“Sebanyak 10 peratus daripada anggaran pelaburan RM95 bilion untuk tempoh tujuh tahun melibatkan jumlah peruntukan kerajaan mungkin boleh diperhalusi lagi kerana membabitkan kos besar dan digunakan pendekatan tender terbuka berbanding runding terus atau anugerah terus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan memperuntukkan hampir RM8.2 bilion dalam NIMP 2030 bagi merangsangkan pelaburan dan pembabitan industri.

Beliau berkata, kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan NIMP 2030.

Ia dianggarkan memerlukan jumlah pelaburan RM95 bilion sepanjang tujuh tahun (NIMP 2030) terutamanya daripada sektor swasta yang digerakkan daripada ekuiti, modal dan pasaran kewangan swasta.

Menurut Dr. Mohamad Izwan, pendekatan itu akan memberikan impak kerana melibatkan pelaburan rakyat yang besar dan jika tidak diurus dengan baik, kesannya kepada ekonomi rakyat yang akan menanggung kebarangkalian kerugian.

Di samping itu, kata beliau, satu jawatankuasa khas melibatkan kerajaan, pembangkang dan NGO perlu diwujudkan bagi memastikan keseimbangan perbelanjaan seterusnya mencecah berlaku ketirisan.

“Kajian lebih menyeluruh bukan sahaja pendapatan kepada rakyat, malah ekuiti syarikat perlu selaras dengan matlamat asal DEB.

“Justeru, Putra menyarankan DEB perlu wajib menjadi tunjang utama kepada NIMP 2030 negara untuk memastikan pendapatan diagihkan secara lebih adil dan saksama untuk semua kaum berdasarkan nisbah jumlah penduduk.

“Isu utama bukan setakat roti dan keju, tetapi pembahagian kek ekonomi negara secara adil untuk semua mengikut nisbah kaum dan ini memperkasakan keadilan sama rata di semua sektor, bukan setakat memekik pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum untuk B40 sahaja,” katanya.

Dr. Mohamad Izwan yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra berkata, bagi memastikan pembahagian kek ekonomi negara adil kepada bumiputera, Dasar Afirmatif melalui NIMP wajib dilaksanakan secara telus, tegas dan pelaksanaan yang berkesan bukan retorik.

“Bumiputera khususnya orang Melayu wajib bangkit menuntut Hak Keistimewaan Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan di bawah Fasal 153 dan berkaitan melalui Perjanjian Sosial Kontrak.

“Selagi pembahagian kek ekonomi tidak adil antara kaum, selagi itulah semangat DEB wajib diteruskan tanpa tolak ansur,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. DEB memperuntuk 30% ekonomi untuk majority Melayu supaya minority bukan Melayu meraih 70% ekonomi sebijik Dasar Ekonomi Apartheid seperti kongsi kuasa politik dan beri geran tanah kepada kibbutz di tanah rizab Melayu supaya Palestine kena kongsi kuasa politik dan beri geran tanah kepada kibbutz di Tebing Barat demi solusi dua negara. Sepatutnya ikut cara pentadbiran negara-negara kecil bekas jajahan British macam Qatar, UAE, dan Kuwait.

Comments are closed.