SEGAMAT – Norahimah Noor Muhammad, yang maut bersama suami dan empat anaknya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, di sini, semalam, pernah bergurau mengenai merakamkan gambar terakhir ketika majlis perkahwinan adik bongsunya di Muar, Ahad lepas.
Kakak mangsa, Noorhayati Noor Muhammad, 51, berkata kali terakhir dia bertemu adiknya di rumah ibunya di Parit Jawa, Muar adalah semasa majlis perkahwinan tersebut, apabila mangsa bergurau dan mengatakan gambar yang diambil adalah yang terakhir baginya.
“Rupanya-rupanya dia sekeluarga pergi buat selama-lamanya semalam. Sebelum dia meninggalkan kami, tiada perkara yang pelik-pelik dilakukannya, arwah merupakan seorang yang sentiasa ceria, namun seorang yang tegas.
Amir Ruddin, 46, merupakan imam di sebuah masjid di Kluang manakala Norahimah bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah agama di Felda Kemedak, Segamat.
Noorhayati berkata sebelum ini dia hanya melihat dan mendengar berita kemalangan jalan raya yang membabitkan kematian ahli keluarga yang ramai di televisyen dan surat khabar.
“Saya sememangnya masih terkejut. Inilah kali pertama ahli keluarga kami meninggal akibat kemalangan, kami empat beradik, dia (arwah) anak ketiga manakala saya anak kedua dan hubungan kami agak rapat selama ini.
“Walaupun dia pergi dengan cara yang agak menyayat hati apabila terlibat dalam kemalangan, namun kami sekeluarga menerimanya dengan reda,” katanya lagi.
Norahimah bersama Amir Ruddin dan tiga anak mereka — Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; dan Rufaidatul Asyariyah, 10, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.
Sementara itu, seorang anak mereka, Abdullah, 15, masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat, manakala seorang lagi, Abdul Rahman, 19, sedang bekerja di sebuah ladang di Kluang, ketika kejadian.
Semalam, dilaporkan Perodua Alza yang dinaiki imam, guru agama dan anak-anak mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah lori mengangkut pasir dan tiga kereta lain.- BERNAMA