Gambar hiasan

GUA MUSANG – Penduduk Felda Perasu kini gusar dengan kemunculan seekor gajah liar yang didakwa menghampiri kawasan kebun dan penempatan mereka serta merosakkan tanaman sejak Khamis lepas.

Seorang penduduk, Sukri Solanuddin, 36, berkata, dalam kejadian terbaharu, seekor gajah liar yang bergading telah memakan pokok pisang dan kelapa yang ditanam di tepi rumahnya.

“Kehadiran gajah itu disedari selepas saya bersama keluarga pulang dari bandar Gua Musang bagi meraikan sambutan ambang merdeka, Rabu lepas.

“Saya dapat lihat sendiri kelibat gajah itu yang merosakkan tanaman kelapa dan pisang kira-kira dua meter dari kawasan rumah pada 1 pagi setelah terdengar bunyi zink dipijak dengan kuat oleh haiwan itu,” katanya kepada pemberita di felda berkenaan.

Menurut Sukri, dia sekeluarga terpaksa bersembunyi kira-kira 20 minit di dalam rumah kerana ketakutan sebelum mendapatkan bantuan jiran.

“Keesokan pagi, saya dapati kesan tapak kaki, najis serta beberapa pokok dimusnahkan gajah terbabit. Saya sangat bimbang dengan keselamatan keluarga jika gajah tersebut kembali dan memasuki kawasan rumah,” katanya yang memiliki empat anak berusia antara lima hingga 15 tahun.

Mat Yunus Majid, 67, pula berkata isu konflik antara manusia dan gajah di tanah rancangan tersebut telah berlarutan sejak tiga tahun lepas sehingga mengakibatkan banyak kerugian terpaksa ditanggung oleh penduduk.

“Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak lebih agresif dan datang membantu bagi menghalau haiwan liar berkenaan supaya keselamatan penduduk terjamin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya telah menerima aduan berkaitan kejadian terbaharu itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast