Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan memberi jaminan tidak akan bersikap kuku besi terhadap organisasi media seperti yang pernah diamalkan dalam pentadbiran-pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, jaminan kebebasan media akan terus dipertahankan dan pendirian itu kekal seperti mana yang dilaungkan oleh Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Jaminan saya adalah kita tidak akan bersikap kuku besi seperti yang berlaku dalam pentadbiran-pentadbiran sebelum ini. Itu jaminan saya berikan kepada rakan-rakan media.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri KKD, tiada seorang pun wartawan ditahan pihak polis. Tidak ada satu akhbar pun yang telah ditutup seperti pernah berlaku sebelum ini. Sudah pasti ini adalah satu perkara yang kita akan pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau diminat mengulas kritikan beberapa pihak terhadap tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat kandungan tertentu yang disiarkan oleh portal berita dan laman dalam talian mereka sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan, beliau bersedia bertemu dengan semua pihak untuk meneliti setiap perkara yang dibangkitkan supaya mereka faham mengapa tindakan berlandaskan undang-undang itu dilakukan.

Menurutnya, beliau malah percaya MCMC secara proaktif menghubungi pihak-pihak yang berkenaan untuk menyampaikan penjelasan tentang kenapa tindakan tersebut dilakukan.

“Sudah pasti tindakan ini jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilalui oleh rakan-rakan media sebelum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast