Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada pelancaran Kembara Kenali Borneo di Tawau Sabah, semalam.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa teruja dengan sambutan rakyat sebaik keberangkatan tiba di Tawau, Sabah petang semalam.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Seri Paduka Baginda berdua rasa amat terharu dengan kehadiran ribuan rakyat yang meluangkan masa seawal pukul 12 tengah hari.

“Seri Paduka berdua terharu dengan rakyat yang menanti dengan penuh sabar di sepanjang 34 kilometer (km) perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan untuk bertemu dan bersalaman dengan baginda berdua.

“Walaupun baginda memandu sendiri kereta ditemani Raja Permaisuri Agong hampir enam jam ke hotel penginapan, Seri Paduka berdua amat gembira kerana dapat menyantuni rakyat kira-kira 30 minit,” kata Istana Negara dalam satu kenyataan, hari ini.

Seri Paduka juga terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat pada hari pertama berangkat tiba di Sabah sempena Kembara Kenali Borneo bagi merealisasikan impian Baginda menelusuri Sabah dan Sarawak.

“Program Seri Paduka Baginda itu bermula hari ini di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13 September ini.

“Seri Paduka Baginda juga menasihati rakyat di setiap lokasi program itu untuk menitikberatkan keselamatan diri terutama semasa berada di bahu jalan raya serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada pelancaran Kembara Kenali Borneo di Tawau Sabah, semalam.

Seri Paduka Baginda turut bertitah agar semangat perpaduan yang terserlah pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 baru-baru ini juga ditunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

“Seri Paduka menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya atas majlis sambutan keberangkatan tiba baginda berdua di Tawau

“Ini termasuk penganjuran Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Masyarakat Tawau, semalam.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah serta Sarawak dalam merealisasikan Kembara Kenali Bomeo.

“Seri Paduka berdua mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan agar impian pengembaraan baginda berdua yang julung kali diadakan dipermudahkan serta berjalan dengan lancar dan jayanya,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast