KUALA TERENGGANU – Mount Tebu Climbathon Challenge 2023 (MTCC’23) akan berlangsung pada 9 September ini di Taman Eko Rimba Lata Belatan, Besut, Terengganu.
Acara itu dianjurkan Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan sokongan Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.
Ia merupakan salah satu usaha Jabatan Pelancongan negeri dalam menjayakan Visit Beautiful Terengganu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.
“Dalam hubungan itu, acara ini menjadi platform untuk mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun dan gunung ganang yang ada di Negeri Terengganu dengan mempromosikan pelancongan sukan sports tourism.
“Gunung Tebu yang berketinggian 1,039 meter dari paras laut semestinya merupakan destinasi gunung Terengganu yang menjadi tumpuan para pendaki di Malaysia. Di kaki gunung yang merupakan Hutan Lipur Lata Belatan sentiasa menjadi tarikan pengunjung untuk aktiviti rekreasi keluarga terutamanya di setiap hujung minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Razali, penganjuran MTCC kali kedua itu diadakan bertujuan mengajak orang ramai terutamanya anak muda untuk membudayakan aktiviti riadah dan bersukan sihat dan cergas melalui elemen pendakian gunung.
Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC’23) adalah acara berkonsep Trail Run /Perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dalam membawa elemen penghayatan alam semulajadi dan sport & adventure tourism di Besut, Terengganu.
Penganjuran terakhir pernah diaanjurkan adalah pada tahun 2013.
MTCC’23 ini menawarkan tiga kategori utama sejauh 18.5 kilometer (km) melibatkan penyertaan terbuka lelaki dan wanita & veteran lelaki dan wanita (KATEGORI CENGAL) serta tertutup Terengganu lelaki dan wanita (KATEGORI MERANTI) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,300.
Manakala satu lagi kategori sebagai fun run dikenali KATEGORI NYATUH sejauh 5 km ditawarkan untuk peserta yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana secara santai.
“MTCC’23 kali ini akan melibatkan penyertaan seramai 592 peserta yang datang dari seluruh Negara termasuk warga tempatan.
Pelepasan MTCC yang melibatkan pelbagai kategori akan berlangsung 7.30 pagi, 9 September 2023.
Peserta kategori utama akan mengharungi cabaran denai gunung sejauh 18.5 km naik dan turun dan akan melibatkan had masa tiba di Puncak Gunung Tebu dalam tempoh lima jam sahaja.
Rekod peserta terpantas sebelum ini adalah satu jam 43 minit 47 saat (Peserta Kenya) manakala rekod peserta tempatan adalah dua jam 10 minit 09 saat (peserta MTCC tahun lepas) dari Terengganu.
Razali juga mengucapkan terima kasih kepada rakan rakan penaja iaitu Syarikat Air Terengganu, EPIC Group, Universal Fitness Leisure (UFL), F&N, Minyak Herba Asma, Atwa Stolen, My Coklat, Arena Sports, Brooks, Manis FM. – MalaysiaGazette