Penjualan guna pasir secara bersyarat. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak lagi menerima aduan baharu daripada peruncit berhubung tindakan pemborong gula mengenakan syarat pembelian gula putih jernih untuk membeli gula pasir biasa.

Pegawai penyelidik CAP, S. Ganesan berkata, perkembangan positif itu selepas  pihaknya membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berhubung aduan yang diterima.

Menurutnya, sebelum ini CAP menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa mereka perlu membeli gula putih jernih  pada kadar tertentu bagi mendapatkan bekalan gula pasir.

Kata beliau,  syarat yang diletakkan oleh pemborong itu bukan perkara perkara baru.

Ganesan.

“Perkara ini bukan baru, ia berlaku sejak beberapa bulan lepas cuma isu ini menjadi perhatian umum apabila pengguna berdepan situasi sama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat mewajibkan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dahulu, jika mahu membeli gula pasir.

Katanya, sekiranya dikesan, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran pengawal bekalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast