Jabatan Kastam Zon Tengah merampas dadah jenis ketamin seberat 20.14 kilogram (kg) bernilai RM1.2 juta yang dibawa masuk ke negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

SEPANG – Jabatan Kastam Zon Tengah merampas dadah jenis ketamin seberat 20.14 kilogram (kg) bernilai RM1.2 juta yang dibawa masuk ke negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Sazali Mohamad berkata, dadah itu dibungkus dalam 20 parcel ditemui di Pusat Mel dan Kurier KLIA menerusi mesin pengimbas pada 28 Ogos lalu.

Menurut beliau, sebuah bungkusan dadah dikenal pasti daripada sebuah negara di Asia Tengah untuk dihantar ke Negeri Sembilan.

Ujar beliau, modus operandi yang digunakan adalah menggunakan alamat palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Alamat terakhir adalah berdekatan sebuah kolej di Negeri Sembilan. Bagaimanapun, usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada tangkapan suspek dibuat sehingga kini.

Menurutnya lagi, dadah berkenaan dipercayai untuk diedar bagi kegunaan seramai 100,700 penagih.

Sazali tidak menolak dadah berkenaan untuk diedar kepada pelajar di universiti di negeri berkenaan.

“Kemungkinan tapi kita masih siasat,” tambahnya.

Sazali berkata kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyem 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain tidak kurang 15 sebatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini  74 kes rampasan dadah oleh Jabatan Kastam Zon Tengah, Unit III (LTAKL) di KLIA melibatkan nilai keseluruhan RM13.4 juta.MalaysiaGazette