Perbarisan Tentera Darat pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Malaysia ke-29 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, KL. Foto QURRATU AINI, 5 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tentera Darat kini dalam proses perolehan beberapa sistem persenjataan bagi mengukuhkan tahap kesiapsiagaan dengan aset meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) model 155mm buatan Turkiye.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, perolehan sistem persenjataan itu bukan sahaja merangkumi senjata tetapi juga mencakupi kenderaan-kenderaan dan insfrastukturnya.

“Memang betul kita (Tentera Darat) sedang dalam proses perolehan beberapa sistem persenjataan bagi mengukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan kita.

“Perolehan sistem meriam artileri jenis 155MM Yavuz Self Propelled Howitzer (SPH) buatan Turkiye antara projek perolehan yang menjadi keutamaan tentera darat dalam meningkatkan keupayaan elemen kuasa tindakan dan kesiagaan pasukan Rejimen Artileri Diraja.

“Perolehan ini melibatkan sebanyak 18 buah Meriam artileri SPH 155MM Yavuz dan sekarang ia berada dalam proses pelaksanaan dokumentasi tender oleh Kementerian Pertahanan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29 yang telah diadakan di Dataran PTD di Kem Perdana Sungai Besi pagi tadi yang turut dihadiri Timbalan Panglimanya, Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Dalam perkembangan sama, Mohammad menambah pihaknya menjangkakan proses dokumentasi tender perolehan kesemua aset itu selesai pada bulan Disember tahun ini.

Dalam pada itu, beliau juga diminta mengulas mengenai kenderaan perisai tempur jenis AV8 Gempita yang dijangka dihantar ke Malaysia Timur membabitkan negeri Sabah dan Sarawak ketika ini.

Sebagai mengesahkan perkara itu, Mohammad menjelaskan pihak Tentera Darat juga sedang terlibat dalam proses meghantar kenderaan AV8 Gempita ke Sarawak.

Menurutnya, proses itu sedang dalam pelaksanaan bermula sejak 2 September lalu seiring dengan Kertas Putih Pertahanan dan juga Pelan Strategik Tentera Darat yang dikenali sebagai Army For Next G’ Tahun 2021 hingga 2050.

“Kita merancang untuk melengkapkan kenderaan perisai AV8 Gempita di dua wilayah melibatkan Barat Semenanjung dan Malaysia Timur iaitu di Sabah dan Sarawak.

“Kalau tengok sekarang di Sabah kita sudah mempunyai kenderaan berperisai dan begitu juga di Sarawak tetapi kenderaan itu telah dalam proses tamat tempoh.

“Jadi kita membuat penjajaran akan hantar AV8 Gempita kita sebahagiannya iaitu sebanyak 26 buah AV8 Gempita ke Sarawak yang mana sebenarnya penghantaran ini sebagai gap filler sahaja sementara membuat proses perolehan kenderaan 4×4 yang turut dalam proses perolehan dan dijangkakan selesai hujung tahun ini juga,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast