Dari kiri, Mohd Zaini, Syaiful Rizal, Junik dan Zainal dalam majlis akujanji Road to Singkawoton 1.0 2023 di SJKC Tsi Sin Tenom.

TENOM – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Kelab Staf Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom menganjurkan Program Road to Singkowoton 1.0 sebagai menghargai peranan guru dalam bidang pendidikan.

Program yang dirasmikan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Mohd Zaini Yanin bertujuan memberi tumpuan meningkatkan bilangan dan peratusan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di daerah itu.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, pelaksanaan program itu selaras dengan matlamat yayasan yang mementingkan pendidikan.

Selain itu, katanya, ia juga menggalakkan perkongsian ilmu dan konsep pembelajaran secara lebih inovatif, di samping meningkatkan pengetahuan pengetua serta guru besar.

“Kita mengharapkan program ini menjadi pemangkin kepada guru untuk sentiasa menimba ilmu dan memperhebatkan lagi skil serta teknik pengajaran bagi meningkatkan prestasi peperiksaan SPM dan mengimprovasi teknik pengajaran lebih cemerlang.

“Dalam usaha melestarikan matlamat meningkatkan taraf pendidikan sedia ada, tenaga pengajar merupakan elemen yang perlu diutamakan kerana pelajar adalah nadi ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

“Usaha murni ini merupakan inisiatif YBR dalam memartabatkan serta sentiasa mencari peluang memberikan impak positif bukan sahaja guru, malah pelajar melalui perkongsian ilmu,” katanya pada program yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tsi Sin Tenom hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit dan Timbalan Pegawai PPD Tenom, Zainal Manaf.

Program Road to Singkowoton 1.0 disertai seramai 141 peserta melibatkan pentadbir sekolah dalam PPD Tenom.

Penyertaan mereka memastikan hala tuju yang sama untuk semua guru, pentadbir dan sekolah serta akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga peperiksaan SPM 2023 bermula. – MalaysiaGazette