KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan akaun Telegram miliknya telah digodam oleh individu yang menyamar sebagai dirinya sejak beberapa hari lalu.
Menurut beliau, perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Saya amat kesal dengan tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini dan berharap agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan penipuan sebegini.
“Saya menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan sindiket penipuan melalui pelbagai aplikasi media sosial dan turut melaporkan tindakan penggodam-penggodam ini kepada pihak yang berkuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Wan Junaidi mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan atau mesej yang mengakui dan menyamar sebagai beliau terutamanya jika ada perkara yang melibatkan kewangan atau temujanji untuk berjumpa.
Beliau meminta sesiapa yang menerima mesej atau panggilan sedemikian untuk menghubungi pejabatnya di talian 03-26017610 untuk pengesahan lanjut. – MalaysiaGazette