LONDON – Pemain tengah baharu Manchester United, Sofyan Amrabat mengakui dia gembira kerana perpindahan ke Old Trafford dari Fiorentina telah selesai sepenuhnya semalam.
Menerusi hantaran di media sosial miliknya, pemain antarabangsa Maghribi itu pertama kali berkongsikan secara terus dengan peminat United sejak perpindahannya disahkan secara rasmi pada Jumaat lalu.
“Ia satu penghormatan besar dan sangat bangga dapat menyertai kelab hebat ini yang penuh dengan sejarah dan semangat.
“Ia adalah impian saya untuk menyarung jersi United dan saya akan memberikan segala-galanya untuk mempertahankan lencana ini.
“Saya tidak sabar untuk melangkah di atas padang ‘Theater of Dreams’ yang mana ianya merupakan rumah baru saya.
“Terima kasih kepada semua peminat untuk sambutan hangat, mari kita jadikan musim ini sesuatu yang akan diingati,” tulisnya.
Pada hari terakhir perpindahan Jumaat lalu, United berjaya mendapatkan Amrabat secara pinjaman manakala penjaga gol Turki Altay Bayindir dan pertahanan kiri Sergio Reguilon turut tiba di Old Trafford.
Amrabat yang menyerlah ketika membantu Maghribi ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu menyertai United dari Fiorentina dengan bayaran pinjaman €10 juta (RM50 juta).
United kemudian mempunyai pilihan untuk membeli pemain berusia 27 tahun itu pada harga €25 juta (RM125.45 juta) tahun depan.
Sebelum ini, Ambrabat pernah bermain di bawah kendalian bos United, Erik ten Hag di Utrecht dan kehadirannya mampu menyuntik lebih banyak aspek serangan di bahagian tengah Red Devils. – Agensi