Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman membawa pemilik akaun Facebook Iman Mustaqim yang akan didakwa di mahkamah atas kesalahan menghina Sultan Selangor di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 06 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook ‘Iman Mustaqim’ mengaku bersalah  kerana telah memuat naik hantaran jelik terhadap Sultan Selangor pada 28 Ogos lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Azlan Ibrahim, 47, melakukan kesalahan di bawah perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588] dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) Akta yang sama.

Beliau turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen (Siber) hari ini iaitu gagal memberi kata laluan Facebook miliknya.

Beliau melakukan kesalahan berkenaan di Ibu Pejabat Daerah (Dang Wangi) pada 31 Ogos yang lalu.

Beliau membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Priscilla Hemanalini A/P Nadarajan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memohon agar Mohamad Azlan dikenakan hukuman yang serius sebagai pengajaran.

“Sekiranya perbuatan tertuduh dibiarkan ia boleh menggugat keharmonian dan seterusnya menjejaskan keelamatan negara kerana perkataan yang jelik.

“Tertuduh perlu diasingkan daripada masyarakat supaya menjadi pengajaran bukan hanya tertuduh tetapi kepada masyarakat,” katanya.

Kemudian, tertuduh membuat rayuan supaya hukumannya diringankan kerana perlu menjaga ibu yang sakit selain tidak mempunyai pekerjaan.

Hakim kemudian menetapkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan yang pertama dan Mohamad Azlan diarahkan membayar denda RM10,000 sebagai hukuman pertuduhan kedua.

Beliau boleh dipenjara sehingga tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.- MalaysiaGazette