KUANTAN – Seorang wanita tempatan ditemui meninggal dunia dipercayai menggantung dirinya sendiri di Bukit Dinding, Karak pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada pukul 11.40 pagi.
“Mangsa yang berusia 33 tahun adalah seorang suri rumah dan juga merupakan seorang anggota sukarelawan simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan bertugas di Balai Polis Karak,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Zaiham berkata, ketika kejadian, suami mangsa yang berusia 42 tahun dan seorang anak lelaki mangsa berusia tiga tahun berada di rumah manakala tiga lagi anak mereka berada di sekolah.
Tambah beliau, laporan bedah siasat oleh pihak Hospital Bentong ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian adalah asphyxia due to hanging namun polis masih manjalankan siasatan lanjut.
Beliau bagaimanapun meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan ke Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09-222 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan – MalaysiaGazette