Komisioner Datuk Hussein Omar Khan

SEPANG – Polis sedang menunggu keputusan hasil laporan Deoxyribonucleic Acid (DNA) daripada makmal forensik bagi menentukan identiti mayat rangka manusia yang ditemui polis di tepi Jalan Kebun, Klang pada 27 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rangka manusia itu ditemui di dalam longkang dalam keadaan reput.

Rangka mayat itu ditemui dalam keadaan bahagian anggota badan terpisah namun kebanyakan anggota badan berjaya ditemui dan dikumpul  untuk tindakan lanjut.

“Proses bedah siasat juga telah selesai dijalankan dan pihak Hospital Shah Alam masih dalam proses untuk mengesahkan punca kematian.

“Namun lanjutan daripada kes ini kita telah kenal pasti satu kes orang hilang yang dilaporkan kepada polis pada Jun yang lalu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan penemuan rangka manusia itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Lawatan Kerja dan Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hussein tidak menolak kemungkinan rangka itu ada kaitan dengan kes seorang lelaki warga tempatan hilang.

“Lanjutan daripada keputusan bedah siasat anggaran mayat ditemui itu disahkan berusia lingkungan 30-an manakala orang yang dilaporkan hilang itu juga dalam lingkungan itu maka polis percaya kedua-dua kes ini ada kaitan rapat.

“Bagaimanapun, kita perlu mengesahkan terlebih dahulu identiti rangka manusia itu melalui ujian DNA yang kita masih menunggu daripada makmal forensik.

“Keputusan DNA itu dijangkakan diperolehi kelak dalam tempoh dua minggu lagi dan ia akan membantu polis untuk menentukan sama ada mayat yang ditemui di Jalan Kebun ini adalah mangsa yang dilaporkan hilang atau sebaliknya,” katanya.

Ia bagi menentukan sama ada kes berkenaan kini berstatus kes jenayah atau laporan mati mengejut (SDR) ia akan ditentukan selepas siasatan lebih lanjut kelak.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam satu kenyataan bertarikh 29 Ogos lalu mengesahkan penemuan rangka manusia yang tersangkut pada batang paip dalam longkang dipercayai milik seorang lelaki berumur sekitar 30-an.

“Rangka tersebut ditemui orang awam yang melalui sekitar lokasi kira-kira jam 8.15 malam sebelum melaporkan perkara tersebut kepada polis.

“Anggota daripada bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan anjing unit pengesan (K9) kemudiannya menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mayat itu dalam keadaan tidak sempurna.

“Rangka terdiri daripada bahagian tengkorak kepala dan bahagian badan dari pinggang ke bawah,” kata Hoong Fong.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast