Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kayat bercakap kepada media selepas Program Jualan Rahmah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di PPR Rawa, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 06 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU –  Cadangan untuk menambah baik program Jualan Rahmah boleh dipertimbangkan dengan memperbanyakkan lokasi jualan di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi khususnya kumpulan B40.

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, beliau akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Kerajaan Perpaduan, sebagai usaha membantu rakyat.

“Kita tengok mungkin dari segi keperluan barangan yang diperklukan, sekarang ini  banyak barang-barang asas, mungkin kita akan tambah lagi keperluan barangan yang diperlukan oleh mereka.

“Kita akan tumpu di kawasan-kawasan yang berkepadatan tinggi yang ramai kumpulan B40. Jadi kita lihat kawasan-kawasan lain, sebelum ini memang tertumpu kepada kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya yang mengulas usaha untuk meneruskan kesinambungan inisiatif yang diperkenalkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Suhaizan berkata, di Parlimen Pulai sahaja,  ada empat PPR utama iaitu PPR Perling; PPR Melana Indah; Uda Utama; dan Kempas Permai.

Ia merupakan lokasi tumpuan jualan rahmah di sini, setakat ini.

“Kalau jualan itu ditambah, mungkin satu atau dua tempat lagi yang ada ramai warga B40 tinggal,” ujarnya.

Bermula Ogos lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan program Jualan Rahmah dua kali sebulan di 640 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

Jualan Rahmah yang dilancarkan pada 11 Januari lalu adalah konsep jualan murah di bawah inisiatif Payung Rahmah, khusus untuk golongan B40.

Suhaizan yang juga Setiausaha Politik kepada Allahyarham Salahuddin menambah, jika diberikan mandat 9 September ini, beliau juga akan menaik taraf serta menyediakan kemudahan infrastruktur sukan di kawasan Parlimen Pulai dalam usaha mengalakkan aktiviti sihat khususnya dalam kalangan belia.

“Selain itu, peluang pekerjaan untuk belia kerana sekarang ini mereka tumpu bekerja di Singapura.

“Tetapi  apabila Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) memaklumkan negeri ini antara yang menerima pelaburan terbaik, maka ia akan memberikan peluang pekerjaan yang lebih baik.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Heboh suatu ketika dahulu bilamana sebuah parti anti perlembagaan negara dan punyai niat mendalam untuk mengsekularkan negara telah membawa sebuah budaya luar, budaya arak Octoberfest untuk dinormalisasikan dan dijadikan budaya dinegara ini. Keadaan menjadi sangat kecoh ketika itu.

    Dari sejarah tersebut netizen menyeru Bangsa Johor untuk turun beramai2 memilih calon PN Best Bersih dalam pilihan raya kecil nanti. Jangan sesekali memberi undi kepada calon2 atau sekutu mereka yang mahukan arak dijadikan budaya dinegara ini.

    Kekal istiqamah, peace.

Comments are closed.