Mohamad Sabu

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan harga beras tempatan masih terkawal di pasaran ketika ini di sebalik dakwaan kenaikan harga beras putih import.

Malah Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu, bekalan beras itu juga masih mencukupi sehingga kini.

Menurut beliau, tindakan manipulasi beras itu sebelum ini sekadar syak sahaja kerana tiada aduan rasmi yang dibuat kepada kementerian.

“Harga beras tempatan masih terkawal dan bekalan masih mencukupi,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM Bersama Pemain Industri/Pihak Berkepentingan Di Bawah Sektor Padi dan Beras di Mardi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KPKM mengesyaki wujud tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import.

Mohamad berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan segelintir pihak tidak bertanggungjawab demi meraih keuntungan mudah.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan tindakan terbabit segera dibanteras bagi memastikan bekalan beras putih tempatan sentiasa terjamin.

Katanya, ini kerana permintaan terhadap beras putih tempatan yang harganya dikawal kerajaan, mencatat peningkatan agak mendadak susulan lonjakan harga beras import.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, isu subsidi dan sistem pengairan yang sempurna telah dibangkitkan oleh peserta yang hadir pada sesi tersebut.

Jelas beliau, ini kerana mereka berpendapat dua isu perlu diberi perhatian dan ditangani sekiranya kerajaan mahu jumlah pengeluaran beras putih tempatan ditingkatkan pada masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast