PETALING JAYA – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang akan meneruskan inisiatif pembangunan vaksin manusia yang pertama di negara ini meskipun idea itu bukan daripadanya.

Beliau berkata, insiatif itu penting sebagai persediaan awal negara untuk berdepan dengan mana-mana pandemik sekali lagi dan mengambil iktibar daripada Covid-19 yang melanda Malaysia pada akhir 2019.

“Walaupun ini bukan satu insiatif yang saya usahakan, tetapi saya teruskan inisiatif ini untuk negara kita.

“Apabila kita ada kapasiti vaksin manusia, kita tidak lagi bergantung kepada syarikat farmaseutikal dari luar negara untuk menghasilkan vaksin,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Selangor dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Tengah di First City University College, Bandar Utama, di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yunus melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) pada 1 November 2021.

Ia bertujuan sebagai insiatif kerajaan untuk memantapkan ekosistem pembangunan vaksin negara.

Mengulas lanjut, Lih Kang juga berkata, pihaknya sedang mencari rakan kongsi dari luar negara bagi menjayakan projek pembangunan vaksin manusia yang dijangka siap menjelang 2030.

“Sekarang MOSTI melalui Institut Kesihatan Negara (NIH) telah mencari beberapa rakan kongsi termasuk antarabangsa untuk membantu kita dalam membangunkan kapasiti membangunkan vaksin manusia.

“Saya boleh kata setakat ini dalam progress. Saya boleh kata sedang dalam proses sebab kami bekerjasama dengan rakan kongsi dari luar negara bersama NDA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast