Pemandangan dari udara Tasik Banjaran, Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City.
TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  bakal menampilkan satu lagi projek kelestarian alam dan kesejahteraan  yang bukan sahaja untuk dinikmati warga UPSI, malah  Muallim.
Menurut Naib Canselor,  Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff , kedua-dua kampus UPSI iaitu Kampus Sultan Sultan Azlan Shah dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah terletak di sisi Banjaran Titiwangsa yang indah.
Justeru, katanya, projek  membangunkan tasik  sepanjang 530 meter itu  membolehkan UPSI menganjurkan pelbagai aktiviti air bertaraf antarabangsa serta program keusahawanan aquakultur.
Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
(Gambar ihsan UPSI)
“Di keliling tasik,  dibina trek larian sepanjang 2.4 km yang  membolehkan pelaksanaan program pembudayaan gaya hidup sihat dan  kesihatan mental dalam kalangan warga UPSI dan komuniti Tanjung Malim.
Beliau berkata di tepi tasik akan dibina “Waterfront Café”, glamping park dan  pelbagai program rekreasi luar.
Inisiatif ini, katanya,  bakal menjana pendapatan, peluang pekerjaan dan  juga menjadi destinasi pelancongan baharu bukan sahaja untuk masyarakat sekitar daerah Muallim, malahan negeri Perak.
“Projek ini juga dilaksanakan selaras dengan  seruan Menteri di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)  dan kerajaan sebagai inisiatif memasyarakatkan universiti sekali gus dapat  merapatkan hubungan universiti dengan komuniti.
Beliau berkata pelbagai aktiviti bersama komuniti luar serta pelbagai agensi kerajaan dijangka mendapat sambutan dengan siapnya prasarana di sekeliling tasik  yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah.
Katanya, bagi pengunjung luar yang menginap di Scholar’s Suites yang terletak tidak jauh dengan Tasik Banjaran juga boleh menggunakan kemudahan ini.
“Saya berterima kasih Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB)  UPSI yang berusaha gigih merealisasikan impian yang akan menjadi kenyataan ini,” katanya.
Menurut beliau di UPSI,  apa yang menjadi keutamaan adalah bukan sahaja pekerjaan dan pengajian tetapi  pelaksanaan program bagi mengamalkan keseimbangan hidup dan pembangunan lestari.
Sebelum ini UPSI membangunkan UPSI Adventure Park untuk pelbagai pihak mengadakan program kursus pembinaan pasukan yang dikendalikan pakar-pakar rekreasi luar UPSI dan mendapat sambutan sepanjang tahun.
Selain itu UPSI mempunyai kolam renang bersaiz Olimpik dan tidak lama lagi  akan siap gelanggang boling dan “driving range”  untuk peminat golf sekaligus akan memeriahkan Kampus Sultan Azlan Shah.  – MalaysiaGazette