Jadon Sancho.
LONDON – Kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq gagal menandatangani pemain sayap, Jadon Sancho secara pinjaman yang mana rundingan diadakan menerusi pengantara, lapor Daily Mail.
Sancho sebelum ini berminat untuk berpindah ke Timur Tengah dan Manchester United bersedia meminjamkannya secara percuma.
Bagaimanapun, perjanjian itu disertakan terma pembelian secara tetap dengan harga bernilai £50 juta.
“Namun Al-Ettifaq tidak mampu untuk merealisasikannya dan kini, rundingan tersebut terpaksa ditamatkan begitu sahaja,” kata laporan itu.
Awal musim panas ini, United juga dilaporkan sedia mendengar sebarang tawaran lingkungan £45 juta untuk mana-mana kelab yang ingin mendapatkan Sancho walaupun pada dasarnya kelab itu tidak bersungguh-sungguh mahu menjual pemain berusia 23 tahun itu.
Sementara itu, ESPN melaporkan pengurus, Erik Ten Hag dan barisan kejurulatihan  United berasa kecewa dengan Sancho kerana percaya mereka telah mengambil langkah luar biasa untuk membantunya pada musim lalu.
Sumber dari kem United menyatakan Sancho digambarkan sebagai watak yang sukar diramal.
“Dia boleh menjadi seorang yang lantang dan ramah, tapi kadang-kadang boleh berubah kepada pendiam.
“Pada pelancaran kit Adidas di Melbourne pada tahun 2022, dia telah meminta juru acara majlis tidak bertanya soalan kepadanya dan memberi tumpuan kepada Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Luke Shaw dan Scott McTominay,” kata laporan itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast